| |
|
|
 |
AKSARA JAWA
Makna dan Fungsi
NORIAH MOHAMED ABSTRAK
The Jawi Jawa aksara is known as Pegon alphabet or Arab Gundul and wasfirst used after the encounter with Islam.
There had been adjustments in pronounciations to suit the Javanese tongue, none theless the originality ofthe
alphabet was preserved. The Jawi aksara did not only serve as a medium of knowledge, but also as a means of
fulfillment of meaningful life such as to afford finding one’s right partner in marriage, in healing and even
to how tomake one’s business enterprising. In reality aksara Jawi tries to search a symbiosis with the function
of Alif deemed as a means to be close to God. Keywords: Pegon, Arab Gundul
Introduction
Aksara Jawi Jawa dikenali sebagai tulisan Pegon atau Arab Gundul danmula digunakan setelah masuknya agama Islam ke
Pulau Jawa. Sejak itupenyesuaian telah dilakukan selaras dengan lidah orang Jawa, namun, keaslian hurufnya masih
dikekalkan. Aksara Jawi bukan sahaja digunakan sebagai sarana ilmu, tetapi juga sebagai wadah kelestarian hidup,
seperti mencari jodoh untuk pasangan baru yang akan mendirikan rumah tangga, mengubat pelbagai penyakit dan membuat
barangan lebih laris dijual. Pada umumnya, aksara Jawi cuba dicarikan suatu keserasian, dengan fahaman yang dianuti
seperti fungsi Alif, sebagai sarana untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
PENDAHULUAN
Orang Jawa sudah mempunyai bentuk penulisan aksara, yang dianggap adiluhung leluhur bangsa Jawa sehingga kini
(Slamet Riyadi 1996:1). Ia berubah mengikut urutan waktu dan suasana, dengan jati diri keilmuannya sudah terserlah
sejak kurun masihi yang ke-8 lagi (Zoetmulder 1994:3). Seperti bahasa lain, bahasa Jawa yang dituturkan itu amat
terikat dengan waktu dan tempat (Molen 1985:3).Oleh itu, perkembangan aksara Jawa juga ada kaitan dengan perkembangan
bahasa Jawa yang lahir sebagai alat komunikasi masyarakat. Namun, aksara Jawa dipercayai muncul setelah berlaku
pertembungan antara peradaban Jawa dengan India. Sebelum itu, tidak terdapat bukti yang menunjukkan bangsa Jawa ini
mempunyai aksaranya sendiri (Poerbatjaraka 1952: vii & Slamet Riyadi 1985:15).
Aksara Jawa yang ada pada masa kini
adalah hasil daripada pembentukan kembali bentuk dan gaya aksara Jawa Kuna (kuno) (Raffles 1982:370). Sebelum
membicarakan aksara Jawi secara terperinci, perlu ditunjukkan warisan aksara Jawa (HA NA CA RA KA) sebelum
kedatangan Islam. Aksara Jawi yang menggunakan aksara Arab, yang lebih dikenali sebagai tulisan Pegon atau Arab
Gundul hanya wujud setelah kedatangan Islam. Dalam pengertian lain,keilmuan bangsa Jawa tidak hanya dirakam
dalam aksara Jawa.
Orang Jawa juga menggunakan aksara Jawi dalam sarana penyampaian ilmu. Kini, penulisan
ilmu di Jawa khususnya, dan Indonesia umumnya, banyak menggunakan aksara Latin sehinggakan aksara warisan,
sama ada aksara Jawa dan Arab (Jawi), sudah diabaikan. Kini, bahasa Jawa dituliskan dengan huruf Rumi sebagaimana
bunyi ayat-ayat bacaan Al Quran yang dituliskan dengan huruf Rumi.
LATAR BELAKANG AKSARA JAWA
Aksara Jawa lebih sering dikaitkan dengan legenda Aji Saka, iaitu orang yang dianggap pengasasnya sehingga 20
aksara baku Jawa itu dikaitkan dengan dua orang pengiring Aji Saka yang bernama Sembada dan Dora yang tinggal di
Pulau Majeti. Mereka diberi tanggungjawab menjaga keris pusaka dan sejumlah barang perhiasan. Di sini timbul satu
angkara sehingga kedua-duanya ber-bunuhan. Cerita sebegini menjadi landasan dalam memperkenal dan mem-permudahkan
pengajaran aksara Jawa kepada kanak-kanak. Kepada orang dewasa, aksara Jawa lebih banyak di cerna dalam bentuk
falsafah yang pernah diungkapkan mantan Presiden Indonesia, Soeharto, dalam bukunya Hanggayuh Kasampurnaning Hurip,
Berbudi Bawaleksana, Ngudi Sajatining Becik(1985),yang bererti kesempurnaan hidup, berjiwa besar, mengusahakan
kebaikan yang sejati. Saranan beliau yang diujarkan sewaktu perasmian Kongres Bahasa Jawadi Semarang pada
tahun 1991 itu telah menyuburkan minat pendukung bahasadan budaya untuk melestarikannya. Sebelum itu,
tidak pernah timbul kesedaran di kalangan budayawan Jawa untuk melestarikan aksara Jawa. Aksara Jawa dan Jawi
bukan hanya digunakan sebagai sarana ilmu, malahan wadah mendapatkan kelestarian hidup.
Fenomena ini merupakan suatu lumrah seperti yang diperkatakan Abdulfatah Ibrahim (1987:42) yang telah dipetik sebagai:
Huruf, dibahagi-bahagikan kepada empat anasir, angin, api, air dan tanah. Pembahagiannya menurut hingga akhir.
maka terdapatlah tujuh huruf bagi tiap-tiap satu anasir, dan huruf itu ada pula hubungannya dengan hari
yang tujuh dan planet yang tujuh…. Ilmu itu lahir di kalangan pelampau tasawuf yang mengamalkan ilmu
hikmat atau sihir kerana mereka ingin menunjukkan kesaktian mereka yang boleh
menyingkap tabir (kasyaf), boleh mengetahui apa yang ada di sebalik indera lahir, dapat mempamerkan kehadian
supernatural () luar biasa, dan dapat menguasai alam anasir dan alam rohani. Dengan itu, tidaklah menghairankan
jika fenomena yang sama dilakukan orang Jawa seperti yang sering dilakukan mereka yang mencari kecocokan jodoh,
lebih-lebih lagi sewaktu mereka belum bertembung dengan Islam.
Dalam kitab Primbon Betaljemur Adammakna telah
digunakan aksara Jawa untuk menilai kecocokan pasangan pengantin: yang priya bernama Hardi dan wanitanya bernama Rini.
Oleh sebab nama si priya itu dimulai dengan aksara Ha dan namasi wanita bermula dengan Ri, lantaran kedua-dua
aksara itu terletak pada satu garis, maka kedua-duanya didapati amat cocok menjadi suami isteri.
Sebaliknya, kecocokan tidak akan tercapai jikalau aksara awalan nama kedua-dua pasangan pengantin tidak
terletak pada satu baris. Misalnya, nama sang priya berawalkan aksara Bu, sementara wanitanya berawalkan
aksara Yu. Ini adalah disebabkan dalam aksara Jawa sudah ditetapkan dengan empat baris dengan setiap barisnya
tersusun aksaranya seperti berikut: HA NA CA RA KADA TA SA WA LAPA DHA JA YA NYAMA GA BA THA NGA Mencari
kecocokan nama seperti itu sering melibatkan penggunaan pedoman rajah seperti di bawah ini:
Penggunaan aksara Jawa bukan sekadar untuk mencari kecocokan pasangan untuk dikahwinkan, tetapi juga untuk
mencari kebaikan hidup, termasuk melariskan jualan dan perniagaan. Sehubungan sikap orang Jawa melihat aksara
Jawa dari perspektif sedemikian, tidaklah hairan jika aksara Jawi (tulisan Arab)dilihat dan dicerna dengan
kepentingannya dititik beratkan mengikut landasan yang sama.
AKSARA JAWI (TULISAN PEGON)
Setelah Islam mapan di Nusantara, ia bukan lagi hanya menjadi suatu anutan, malahan penyaring dalam perkembangan
budaya orang Muslim di Nusantara. Saringan demi saringan telah digunakan untuk mencari penyesuaian dengan kehendak
agama, misalnya penggunaan muzik dalam kehidupan. Kebanyakan mereka cuba mencari justifikasi yang sejajar dengan
kehendak Islam melalui AlQuran dan hadith. Namun, ada kalanya saringan itu tidak digunakan, demi kepentingan yang
didambakan. Sehubungan itu, aksara Jawi (tulisan Arab) turut diberi makna yang sesuai dengan kehendak
masyarakat Jawa selaras dengan yang berlaku pada aksara Jawa. Di sini elok ditelusuri beberapa petikan
makna dan fungsi aksara Jawa yang sesuai dengan selera masyarakat Jawa. Sebelum itu wajar dinyatakan
bahawa oleh sebab sebutan yang amat menebal dalam pembicaraan, orang Jawa tidak dapat melepaskan diri
daripada keterikatan ketebalan ini sehinggakan terbawa-bawa dalam penyebutan bahasa asing. Fenomena ini
berterusan sehingga penyebutan aksara Jawi (Arab) terpaksa akur dengan liuk lintuk lidah orang Jawa
sebagaimana yang akan dipaparkan selanjutnya.
Aksara Jawi dan Sebutan Arab
Alif, Ba, Ta, Sa, Jim, Ha, Kho, Dhal, Zal, Ro, Zai,Sin, Shim, Shot, Dhot, Tho, Zo, ‘Ain, Ghain, Fa, Khof, Khaf,
Lam, Min, Nun, Wau, Kha, Lam Alif, Hamzah, Ya.
SEBUTAN JAWA
Alip, Ba, Ta, Sa, Jim, Kha, Kho, Dhal, Jal, Ro, Jai, Sin Shim, Shot, Dhot Tho,
Zo,Ngain, Ghain, Pa Kap, Kop, Lam, Mim, Nun, Wawu, Ha, Lam Alip, Amzah, Ya.Pemaparan di atas memperlihatkan
sebutan Jawa amat ketara dalam bunyip, b, ng, dan r. Misalnya, sebutan Dzohor bertukar menjadi Lohor
(Emha Ainun Najib 1992: 101).
ALIP (ALIF) Lidah orang Jawa sukar menyebut Alif kerana tidak ada bunyi itu
dalam aksara Jawa. Oleh itu, untuk mengadakan huruf alif dalam bentuknya yang asli telah digunakan aksara pa
yang ditandai tiga titik di atasnya . Sungguhpun demikian, bagi orang Jawa huruf Alif mempunyai makna dan
fungsi yang sudah ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam petikan di bawah ini:
- Alip murwani jenenging imam,
- lungguh sajroning grana,
- sandhuwuring lathi/lembe ikukang kadunungan mung manungsa.
- Alip mengku lair batin den
- pepuji saben dinane sebute amuji walu Mukhamad,
- pigunane angedohake kang lelara,
- rahayu kang pinanggih, kinasihaning sapepadane.
Lakune sabar narima, suci, budi, santoso ing saben dinane. Yen ana pageblug saben omah pasangana rajah
alip ing mapan ing lawang ngarep omah, sartasinartyan klonthongan kupat loro, kang siji diisi wewinihan,
kayata beras, kacang dele lan sapanunggalane, kang siji isi gula, uyah, kopi sarta kembang setaman, uga kendhi
isi banyu pitu, kendhi di krukup mori putih, ketelu iku mau canthelna ing dhuwur lawang omah ngarep sisih njero.
Slametane Rasulan sega golong, jangan menir, memule Kanjeng Nabi Mukhamad. (Wibarsu Harianto 1992:42)
Terjemahannya Alif keberanian yang dikatakan imam (pemimpin), terletak di dalam hidung, di atas bibir yang menjadi
ketetapan manusia. Alif pada dasarnya adalah luar dalam yang memuji setiap hari dengan sebutan Nabi Muhammad
dengan tujuan untuk menjauhkan malapetaka, selamat dengan apa yang ditemui, berkasih-kasihan selaras dengan
perlakuan seperti sabar, narima, suci, berbudi bahagia setiap hari. Jika berlaku wabak penyakit setiap rumah harus
meletakkan huruf alif di depan pintu rumahnya disertai dua bungkus ketupat, satu diisi dengan pelbagai bijirin
seperti beras, kacang dal dan sementara yang satu lagi diisi gula, kopi, garam dan pelbagai bunga. Kendi (labu air)
diisi dengan air dari tujuh tempat dan ditutup dengan kain putih. Ketiga-tiga barang tadi diletakkan di atas pintu
yang menghadap ke dalam rumah. Untuk makanan slametan makanan khusus ialah ayam golek, nasi dan sayur biasa.
Petikan di atas memperlihatkan bagaimana huruf alif digunakan sebagai penghindar mala petaka dengan meletakkan
huruf alif di depan pintu sebagai lambang penjagaan/keselamatan. Fungsi huruf alif itu sama dengan patung Ganesha
yang sering diletakkan di depan pintu sebagai penjaga. Persoalan disini ialah mengapa aksara Alif digunakan sebagai
penjaga. Hal ini pernah ditanyakan kepada seorang budayawan di Jawa, bapak Kuntjoro di Surabaya pada 1997.
Jawapan beliau ialah aksara Alif adalah aksara yang pertama di dalam aksara Jawi. Gambaran sedemikian dikaitkan
dengan Allah, sang pencipta yang bermula dengan aksara alif. Allah itu wujud dan Allahlah yang menjadikan manusia
dan seisi alam ini. Dari pada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali dan ini ada kesesuainya dengan
‘sangkan paran makhluk’(Syamsul ‘Alam 1985: 48).
Justeru itulah aksara alif pernah dijadikan lambang untuk kegiatan kebatinan, selain kelompok Pangestu, Subud dan
sebagainya. Sehingga kinipun masih ada orang Jawa meletakkan aksara alif di hadapan pintu rumah dan juga di hadapan
tempat solatnya dengan hajat untuk mendapat kebaikan.Jika dikaitkan dengan bentuk aksara alif yang tegak dari atas ke
bawah ia membawa pengertian Tuhan akan sentiasa berada dalam zat-Nya yang khas dan tidak berubah-ubah, iaitu yang
bersifat kekal. Gambaran ini ada persamaan dengan sifat 20 Allah yang amat lumrah kepada penganut Islam.
Namun, daripada petikan tadi, alif membawa makna imam yang terletak di dalam hidung, iaitu di atas bibir
dan itulah tumpangan manusia. Hal ini ada kewajarannya dengan sikap orang Jawa sewaktu mengadakan pengheningan
cipta. Mereka sering disarankan untuk mengawal nafas yang keluar masuk melalui hidung. Selain itu, pernafasan
memang ada kaitan dengan udara dan manusia tidak akan hidup tanpa pernafasan. Pernafasan tidak pernah melalui
anggota lain, melainkan hidung atau pun mulut.Manusia hanya bernafas melalui mulut ketika berselsema (pileg).
Udara adalah ganjaran yang paling besar kepada manusia. Pernafasan amat perlu kepada manusia yang akan berusaha
semaksima mungkin untuk memulihkan kembali pernafasan kerana faktor ini menjadi penentuan hidup dan mati.
Di dalam teknik samadhi (menghening cipta), orang Jawa harus menjalani banyak perkara yang menyangkut soal
pernafasan dan hidung seperti petikan yang sudah diubah suai daripada tulisan Seno Sastroamidjojo (1964:244-245).
Antaranya ialah:
- Mencari ketenangan, terutama di tempat sunyi dan sepi seperti di dalam gua, hutan dan puncak bukit.
Waktu yang paling cocok ialah malam hari menjelang subuh. Pada waktu beginilah diharapkan tidak ada
sembarang bunyi sehingga dikatakan ‘tidak seekor belalangpun diperbolehkan berbisik’ (Tan kena ana walang ngalisik).
- Melepaskan secara sempurna segala tekanan di dalam diri dengan berbaring atas sekeping papan, bangku atau lantai
sehingga jasad atau diri di-umpamakan seperti kain basah yang tidak merasa apa-apa jika diperlakukan.
Pemusatan ditumpukan ke satu titik, iaitu hujung hidung dengan memerhatikan pernafasan, iaitu udara keluar masuk.
- Menutup rapat kedua-dua belah mata, sambil dipusatkan kepada hujung hidung.
- Tidak memperdulikan keadaan tubuh.
- Pusatkan fikiran ke seluruh alam semesta yang tenang, tenteram dan sunyi-senyap.
- Pusatkan fikiran kepada perkara yang indah permai dan bersifat luhur yang membahagiakan.
- Dengungkan di dalam batin beberapa kali kata-kata berikut:
- segala-galanya tenang
- amat tenang
- ketenangan yang serba sempurna
- aku seorangdiri saja di dalam suasana sunyi-senyap yang tidak terhingga
- semuanya sunyi-senyap
sehingga orang itu sudah merasakan ketenangan berada bersamanya.
KESERASIAN AKSARA DAN BUDAYA
Untuk mencari keserasian, orang Jawa menyatukan konsep alif dengan sesajen yang
harus disediakan dan slametan yang harus dilaksanakan. Kesemuanya ini adalah rentetan budaya yang berterusan
dari fahaman Hindu Jawa hingga kepada Jawa Islam. Umumnya, masyarakat Jawa kini masih mengamalkan slametan
yang dianggap paling penting untuk mencari keselarasan hidup (Noriah 1992:41 &Magnis 1983:93).
Memandangkan kepercayaan mereka bahawa kemampuan manusia amat terbatas, bantuan daripada kuasa yang
lebih agung amat didambakan. Untuk mendapat penghasilan yang diperlukan, usaha amat wajar dilaksanakan.
Gejala ini boleh dilihat pada cara orang Jawa melariskan jualan atau dagangan mereka. Kepada mereka,
pengendalian (managements) perniagaan adalah soal sekunder, kerana sokongan daripada faktor luar lebih
diperlukan.
Sehubungan inilah orang Jawa menggunakan cara yang sama dengan harapan apa yang dilaksanakan
tidak bercanggah dengan agama yang mereka anuti seperti menggunakan aksara Jawi (Arab) dengan nama-nama
Allah dalam rajah yang dilukiskan di atas kain kuning atau putih. Kain yang digunakan itu sebaiknya
di kemenyankan dengan membaca sepuluh nama (asma’) Allah sebanyak seribu kali. Selepas itu, kain tadi
akan dilipat dan dibungkus dengan rapi dan dilafazkan dengan kata-kata Insya Allah untuk dibawa bersama
sewaktu berdagang. Dengan itu, dagangannya akan laris dan andainya diletakkan dikedai, kedainya semakin laris.
Gambar rajah yang disebut Wifik dapat diteliti dibawah ini. Sementara itu, dapat dirumuskan bahawa aksara Jawi
bukan sekadar untuk mendapatkan pengetahuan, tetapi juga digunakan untuk kebaikan manusia. Kewajaran penggunaan
secara Islam akan dibincangkan di akhir tulisan ini. Cara-cara penggunaan kain kuning atau putih ini dapat
disamakan dengan penggunaan azimat yang lumrah diamalkan dalam masyarakat Melayu. Namun,ingin diketahui
mengapa harus kain kuning atau putih? Justifikasi dan ke-wajarannya adalah seperti yang diberi di bawah ini:
- Kain kuning dan putih merupakan warna yang terang. Sesuatu yangdituliskan di atasnya pasti akan menjadi
lebih terang dan terserlah. Sebaliknya,tulisan tidak akan kelihatan dengan terang andainya kain itu hitam,
merahatau warna lain. Hal ini ada kesamaannya dengan kanvas putih yang
digunakan pelukis. Mereka sering menggunakan kanvas putih atau kekuning-kuningan kerana kain semacam itu
sahaja dapat melahirkan lakaran ataugambar yang ingin dipaparkan. Itulah beberapa sebab utama warna putih
menjadi penting kepada orang Muslim dan masyarakat Islam, sehinggakanbayi yang baru lahir diumpamakan seperti
kain putih.
- Kepada orang Jawa, warna putih dan kuning mempunyai makna yang tersendiri, kerana warna-warna ini
dikaitkan dengan empat warna, iaitu merah,kuning, hitam dan putih yang lumrah dalam pewayangan Jawa.
Keempat-empat warna ini mempunyai kaitan dengan empat unsur alam, iaitu tanah,angin, air dan api yang
diselaraskan dengan huruf Jawa dan juga Jawi (Arab)seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Warna-warna ini
membawa pengertian yang difahami orang Jawa, walaupun pemahaman mereka mungkin berbeza daripada pandangan orang lain.
Kepada orang Jawa, unsur tanah dikaitkan dengan warna hitam, angin dengan warna kuning, api dengan warna merah dan air
dengan warna putih. Selanjutnya keempat-empat anasir dan warna ini dikaitkan pula dengan empat nafsu manusia:
marah, tamak,sabar dan rela.
- Seterusnya, warna merah dikaitkan dengan anasir api yang sentiasa bersediauntuk
membakar. Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa api sering dikaitkan dengan marah? Pastinya kebanyakan kita
dapat memberi penaf-siran ketika seseorang
itu sedang marah dengan mukanya menjadi merah,selain perubahan jelas pada rentak suaranya yang meninggi.
Orang yang sedang merah itu akan berdiri dengan tangannya mengembang yang akan menimbulkan kesan kepada sasarannya.
Atas sebab itulah, dalam masyarakat Jawa disarankan agar mengimbangi sifat marah dengan sifat sabar.
Jika marah menerpa, orang itu harus memulakan perkiraan daripada nombor 10. Jika orang Jawa itu Muslim,
dia disarankan untuk duduk beristigfar dan sebaiknya terus mengambil wudhuk.
- Warna hitam pula dikaitkan
dengan tanah atau bumi, yang pewujudannya bersifat melekat. Pengertian melekat lebih dikaitkan dengan
perlakuan malas,kuat makan, senang minum, bongkak, serakah, tinggi diri dan seksual. Nafsu-nafsu itu
meliliti jiwa manusia, seperti senang bermalas-malasan, senang kepada pujian dan penghormatan, senang
kepada kenikmatan bersenggama dan makan minum yang enak-enak. Untuk melenyapkan nafsu yang melekatini
dengan menanamkan rasa rela (melepaskan), segala keinginan atau lebih tepat mengekang diri dan dituntut
untuk menahan diri seperti berpuasa. Justeru itu, orang Jawa mengadakan laku seperti berpuasa pada setiap
Isnin dan Khamis, selain ada kalanya melakukan puasa memutih (hanya makan sekepal nasi).
- Warna putih kerap dikaitkan dengan anasir air yang bersifat positif. Nafsu inilah yang perlu dipelihara dan
dipertingkatkan kerana kesejajarannya dengan sikap Narima (kesediaan). Air daripada makna yang umum dan difahami
sebagai suatu sumber penghidupan itu amat didambakan oleh setiap orang, binatang dan tumbuh-tumbuhan.
Gambaran air sering mem-berikan kedinginan dan inilah elemen yang paling wajar digunakan untuk melenyapkan
api kemarahan. Tanpa air, segala kejadian tidak akan hidupdan berfungsi.
- Warna kuning sering pula dikaitkan
dengan udara (angin) yang diperlukan oleh setiap manusia dan makhluk lain. Tanpa udara, manusia akan mati.
Selain itu, elemen ini juga dikaitkan dengan sifat semulajadi manusia yang mempunyai perasaan kasih sayang,
suka tolong-menolong dan merasakan kebahagiaan dan kesusahan orang lain. Sifat ini ada kesejajaran dengan sifat
yang dipunyai Tuhan, tetapi dalam keadaan yang berbeza. Kasih sayang manusia tidak dapat disamakan dengan kasih
sayang Tuhan kerana kasih sayang Tuhan adalah tanpa batasan, maka amat wajar Tuhan (Allah) dikenali
dengan 99 nama (asmaul Husna). Keempat-empat warna yang dikaitkan dengan keempat-empat unsur dalam diri
manusia itu merupakan suatu ikatan dan kepelbagaian pentafsiran yang dapat dilakukan sejajar dengan budaya
yang mempengaruhi kehidupan individuitu.
PENGGUNAAN AKSARA JAWI DARI PANDANGAN ISLAM
Sungguhpun akasara Jawi digunakan sebagai azimat, tetapi
kadangkala penye-lewengan berlaku. Misalnya, wifik yang diterakan di atas kain sutera kuning atau putih
ini jika dipercayai si pembuat tadi akan menjadikan jualannya laris, maka dia telah meletakkan
kepercayaannya kepada benda lain. Daripada segi hukum Islam, dia berdosa (Amran Kasimin 1997).
Perkara seperti ini sering berlaku dalam masyarakat Jawa. Yang dipentingkan adalah hasil aktiviti tanpa
memperhitungkan sama ada ia diterima agama atau tidak. Di sini, harus disedari bahawa bukan semua mereka
menjadi penganut agama Islam yang komited, tetapi mereka boleh di bahagikan kepada tiga kelompok : Priyayi,
Santri dan Abangan. Oleh itu, ramai di antara mereka mengamalkan kebatinan (agama Jawi), yang sering mencari
keserasian dengan agama yang dianuti.
PENUTUP
Aksara Jawi yang diperkatakan ini terbatas kepada bagaimana
tradisi penggunaan aksara itu berterusan dari era penggunaan Ha Na Ca Ra Ka hingga kepada penggunaan
Alif Ba Ta dalam bentuk yang telah diserasikan sesuai dengan fungsi yang di dambakan. Penggunaan aksara Jawi,
lebih-lebih lagi aksara Alif dalam pelbagai kegiatan sudah menampakkan terpikatnya orang Jawa dengan aksara
yang mereka gunakan. Mereka juga menggunakannya dalam tradisi perbomohan yang berlandaskan Islam, dengan
memetik ayat-ayat Al Quran untuk menghindarkan diri daripada gangguan dan sarana perubatan.
Contoh seperti ‘Laqad kuntu’ digunakan untuk mengubat sakit gigi. Dalam bahasa Jawa ‘untu’ adalah gigi.
Yang penting adalah bunyi dan bukan maknanya. Aksara Jawi yang digunakan kadangkala tanpa diketahui
maknanya, kerana yang dipentingkan ialah hasil yang diperolehi daripada apa yang mereka lakukan.
Mereka masih mewarisi tradisi perubatan leluhur sehingga kini.
RUJUKAN
- Abdullah Ciptoprawiro. 1986.
Filsafat Jawa.
Jakarta : Balai Pustaka.
- Abdul Fatah Haron Ibrahim. 1987.
Ajaran Sesat.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Amran Kasimin. 1997.
Amalan sihir masyarakat Melayu: satu Analisis.
Kuala Lumpur : Percetakan Watan.
- Emha Ainun Najib. 1992.
Slilit Sang Kiai.
Jakarta : Pustaka Utama Grafiti.
- Idrus H. Alkaf. 1990.
Ilmu kedigdayan.
Pekalongan : Penerbit Sumber Ilmu.
- Magnis Suseno, Franz. 1983.
Etika Jawa dalam tantangan.
Yogyakarta : Penerbit Yayasan Kanisius.
- Muhammad Ali Akbar. 1980.
Perbandingan hidup secara Islam dengan tradisi Pulau Jawa.
Bandung: P.T. Al Maa’rif.
- Molen W. van der. 1985.
Sejarah dan perkembangan aksara Jawa.
- Dlm. Soedarsono dkk.(penyunting).
Aksara dan ramalan nasib dalam budaya Jawa.
Yogjakarta: ProyekJavanologi.
- Noriah Mohamed. 1995.
Jayengbaya: memahami pemikiran Jawa.
- Bangi: Pejabat Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Poerbatjaraka, R.M. Ng. & Tardjan Haidijaja. 1952.
Kepustakaan Djawa.
Jakarta.
Djambatan .
Raffles.
- Thomas Stamford. 1982.
The History of Java. Jilid 11.
Kuala Lumpur: Oxford University Press.
- Seno Sastroamidjojo. 1964.
Renungan tentang pertunjukan wayang kulit.
Jakarta: Penerbit Kinta.
- Syamsul Alam. 1985.
Semedi filsafat dan kuncinya.
Surabaya: Citra Jaya Murti.
- Slamet Riyadi. 1996.
Ha-Na-Ca-Ra-Ka (Kelahiran, penyusunan, fungsi dan makna).
Surabaya: Yayasan Pustaka Nusantara.
- Sri Mulyono. 1979.
Simbolisme dan mistikisme dalam wayang.
Jakarta: Gunung Agung.
- Wibatsu Harianto Soembogo. 1992.
Kitab Primbon Goradhatun Adammakna.
Ngayugyakarta: Praja Dalem Hadiningrat.
- Zoetmulder. 1994.
Kalangwan: sastra Jawa selayang pandang.
Jakarta: Penerbit Djambatan.
Dr. Noriah Mohamed Felo Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi Selangor Darul Ehsan
e-mail: nong@pkrisc.cc.ukm.my
|
|
|
|